JERTIH, 14 Julai (Bernama) — Seorang lelaki mendakwa kehilangan kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 yang diletakkan atas but keretanya, terjatuh dan bertaburan di jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok di sini, pada 11 pagi semalam.
Ibu lelaki itu, Che Safiah Abdullah, 63, berkata anaknya Wan Ibrahim Wan Leh, 24, terlupa yang beliau telah meletakkan beg kain berisi wang tunai di atas but kereta jenis Honda Civic, sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank untuk menyimpan wang tersebut.
“Selepas kejadian itu, Wan Ibrahim mengalami kemurungan dan hanya berkurung di dalam bilik, memandangkan wang tersebut dikumpulnya sejak empat tahun lalu hasil pendapatan sebagai tukang gunting di bandar Jertih.
“Lebih menyedihkan Wan Ibrahim, wang itu untuk dia beli kereta sendiri sebab kereta yang digunakan sekarang milik kakaknya dan dia mahu jelaskan hutang dan upah haji arwah bapa kandung dan bapa tirinya,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Lak Lok di sini, hari ini.
Che Safiah berkata anaknya yang masih bujang itu, meletakkan beg berisi wang tersebut di atas but kereta kerana terlebih dahulu mahu membersihkan bahagian dalam kereta, namun dia terlupa wang berada di situ dan terus memandu ke arah bandar.
Wan Ibrahim menyedari wang tersebut terjatuh sebaik sampai di bandar Jertih kira-kira 10 minit kemudian, sebelum berpatah balik ke tempat kejadian berhampiran persimpangan U di Kampung Lak Lok.
“Setiba di situ beberapa orang awam yang membantu memungut wang yang berterabur di atas jalan raya, telah menyerahkan balik wang tersebut kepada anak saya berjumlah sekitar RM30,000, namun ada individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai telah mengambil wang tersebut.
“Anak saya kemudian pergi membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut dan kami berharap agar mana-mana individu yang mengambil baki wang itu agar memulangkan kembali kepada keluarga saya,” katanya.
Che Safiah berkata kejadian tersebut turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis kedai berhampiran.
Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai baki wang tersebut boleh menghubunginya di talian 013-5395538.
Sumber: BERNAMA