” Ikutkan saya memang sayang kereta ini. Tapi saya tiada pilihan lain dan ambil keputusan menjualnya kepada sesiapa yang berminat.
” Dah lebih setahun saya tiada tawaran besar. Kalau ada pun hanya tawaran sebagai pelakon undangan untuk sehari dua. Itu sahaja. Kalau nak harap episod macam dulu memang tiada.”
Demikian kata pelakon Lan Zailan, 65, berkenaan keputusan menjual kereta kesayangannya model Daihatsu Charade yang sudah 14 tahun digunakannya.
Menurutnya, tahun lalu dia hanya mendapat satu tawaran berlakon sebagai pelakon undangan, manakala untuk tahun ini pada 14 Januari nanti.
” Selepas ini tak tahulah lagi bila pula nak ada tawaran berlakon. Pada masa sekarang, saya banyak sertai program jualan anjuran GTAS (Gabungan Transformasi Anak Seni).
” Saya jual kerepek dan produk kesihatan. Kadang-kadang saya buka booth berniaga di tepi jalan sahaja. Saya tinggal di Hulu Langat, jadi tiada apa-apa tindakan dari pihak berkuasa.
” Sebelum ini, saya pernah buka booth jualan di Ampang dengan kawan-kawan. Kemudian datang Penguatkuasa nasihatkan supaya kemas-kemas dan jangan datang lagi situ. Mujur mereka tak rampas barang dan peralatan niaga,” katanya kepada Harian Metro.
Lan Zailan juga sudi berniaga di pusat bandaraya sekiranya ditawarkan kedai dengan harga berpatutan.
” Berkenaan kereta pula, keadaannya masih baik kerana enjinnya dah ditukar kepada enjin Daihatsu Pisa Auto 1.3. saya hanya gunakan untuk bergerak dalam kawasan kampung sahaja.
” Cukai jalan juga hidup sampai Mac ini. Sebelum ini ada seorang individu, orang muda yang tengok dan kata berminat, tapi lepas itu diam. Saya nak jual dengan harga RM5,000 dan masih boleh dirundingkan.
” Buat masa ini, anak saudara isteri pinjamkan kami kereta jenis Viva. Tapi kami bercadang nak jual kedua-duanya untuk beli kereta besar sikit untuk buat berniaga,” katanya.
Lan Zailan berkata, dia menyasarkan untuk membeli kereta terpakai jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) di bawah harga RM10,000 untuk tujuan itu.
” Cukuplah untuk saya letak barang-barang niaga termasuk meja. Bukan nak melaram pun. Saya pernah bawa Viva pergi berniaga di Ipoh.
” Hanya muat 40 balang kerepek sahaja, manakala meja tak muat. Mujurlah penganjur ada sediakan meja,” katanya yang akan berniaga bersama GTAS di Setapak pada 12 hingga 14 Januari ini.
Untuk info, Lan Zailan mula berkecimpung sebagai pelakon sejak tahun 1990 menerusi drama Santan Berlada slot TV1.
Nama beliau mula dikenali menerusi drama popular Rumah Kedai (musim 6) pada tahun 1993. Selain itu beliau turut muncul menerusi drama Gerak Khas (1999-2004) dan berpuluh drama lain.
Zan Zailan turut terbabit dalam beberapa buah filem antaranya Suami Isteri dan…? (1996), Anaknya Sazali (2000), Ngangkung (2010), Bini-Biniku Gangster (2011) dan Longkai (2013).
Sumber:hmetro