Gara-gara terpedaya dengan pelaburan mata wang digital, seorang lelaki yang dikenali sebagai Ariff Luqman Peter Lisut atau Ariff Peter kini terpaksa menanggung hutang lebih RM1 juta sejak dua tahun yang lalu.
Kehidupannya kini turut berubah dan mengalami perbezaan ketara berbanding tujuh tahun lepas di mana dia mampu tinggal di kediaman yang selesa, memandu kereta import mewah dan mempunyai perniagaan yang berjaya.
Namun, kediamannya kini hanyalah di sebuah kereta Proton Wira sejak setahun yang lalu akibat kerugian daripada pelaburan tersebut.
Mahu Bayar Hutang, Jual Semua Perniagaan
Ariff yang juga bakat baharu dalam industri hiburan memilih untuk bertanggungjawab dengan menjual perniagaan lembu ternakan miliknya, dua rumah, tiga kereta dan sebuah van bagi membayar semula wang pelaburan milik mangsa.
Pemilihan kereta Proton Wira sebagai tempat tinggal terbaharu adalah kerana dia tidak mahu terbeban dengan sewa billik.
“Saya mahu teruskan kehidupan dengan selesa dan selamat, jadi saya ambil tanggungjawab bayar wang mangsa dengan jual semua aset saya, cuma yang tinggal hanya Proton Wira ini saja yang digunakan untuk bekerja dan tidur.
“Walaupun jual semua aset, ia tidak cukup bayar hutang, malah saya melakukan pelbagai kerja untuk lunaskan bakinya. Sebab itu saya tidak sewa rumah atau bilik kerana tanggungan saya terlalu berat,” katanya.
Bagi membayar baki hutang RM1 juta itu, dia terus memilih untuk melakukan pelbagai kerja seperti khidmat pembersihan, sanitasi premis dan rumah serta menulis lirik.
Malah, dia yang berusia 27 tahun itu turut menerima tempahan membuat poster perniagaan, copy writing, kandungan video serta perkhidmatan menghantar barang.
Niat Mahu Bantu Orang
Berkongsi kisah detik kejatuhan, Ariff Peter mengakui salah sendiri yang terlalu percaya dengan satu skim pelaburan yang melantiknya sebagai ‘duta’ untuk menarik orang melabur.
Niat Ariff pada mulanya hanyalah untuk membantu orang ramai. Siapa sangka, individu yang bersamanya dalam pelaburan itu menghilangkan diri dan mangsa meminta semula wang masing-masing selepas tertipu dengan pelaburan tersebut.
Tambah Ariff, kini hutangnya hanya berbaki RM100,000 dan dia masih lakukan pekerjaan sampingan bagi menyelesaikan baki tersebut.
Dia juga masih memilih untuk tinggal di dalam kenderaan itu walaupun telah sebulan mendapat kerja tetap dan gaji yang lumayan.
“Saya tidur di mana-mana dan sejak kerja tetap sebulan lalu, saya tidur dekat pejabat setiap Isnin hingga Jumaat dan waktu malam, saya sambung kerja sampingan, manakala hujung minggu buat kerja muzik di studio rakan.
“Apa saja kerja boleh dilakukan akan saya buat asalkan dapat wang halal. Kira-kira 90% daripada gaji serta hasil kerja sampingan digunakan untuk membayar hutang,” katanya lagi.
Akui Penat, Anggap Sebagai Pengajaran
Dia yang pernah menyanyikan lagu tema filem Coast Guard dan Yes Sir bersama Zamani mengakui penat dengan keadaan yang dilaluinya.
Namun, dia menganggap ini semua adalah bayaran dan pengajaran di atas kesilapan yang pernah dilakukan.
“Saya lalui fasa sukar hingga segelintir yang ada ketika senang sebelum ini tiba-tiba menghilangkan diri serta tidak menjawab panggilan telefon.
“Buat masa sekarang, saya pilih tinggal sementara di dalam kereta dan apabila sudah selesai semua hutang, baru saya akan fikir untuk cari rumah sewa,” ujarnya.
Kongsi Video Di TikTok Untuk Cari Peluang Kerja
Terdahulu, video yang dikongsikan olehnya di akaun TikTok @Ariff Peter mendapat perhatian daripada warganet.
Bagi Ariff, tujuan utama dia memuat naik video tersebut hanyalah untuk memanfaatkan media sosial itu bagi memperolehi peluang kerja.
Malah, dia tidak pernah rasa malu dengan keadaannya namun hanya akan rasa semikian sekiranya meminta bantuan sedangkan masih mampu bekerja.
“Tujuan saya mahu iklankan perkhidmatan dan harap netizen beri peluang dengan mendapatkan khidmat yang saya tawarkan.
“Saya buat kerja bukan minta sumbangan dan sejak tular di TikTok, saya dapat banyak job dan yakin dapat selesaikan baki hutang dalam masa terdekat ini,” katanya lagi.
Terbaharu, dia kini dikatakan berjaya mendapat peluang pekerjaan selepas tular kisahnya di media sosial.
Menurutnya, kini hampir setiap hari dihubungi oleh orang ramai bagi mendapatkan perkhidmatan pembersihan dan sanitasi serta turut menerima tempahan hasilkan poster perniagaan dan juga kandungan video.