Menerusi video yang dirakam di sebuah taman dekat R&R Bagan Ajam, Butterworth, Pinn Yang mendekati pasangan itu sebelum berpura-pura mahu meminjam 'power bank' daripada mereka.
Selepas diberi sebuah 'power bank' oleh pemuda itu tanpa ragu-ragu, Pinn Yang terus mengeluarkan RM1,000 apabila mengetahui pasangan tersebut sedang mengumpul wang untuk mendirikan rumah tangga.
Annisa dan Ikhwan berkenalan pada tahun lepas.
Bercerita kepada mStar, Annisa, 19, berkata dia dan tunangnya, Ikhwan, 23, berada di lokasi itu untuk meraikan hari lahirnya dan tidak menyangka individu yang mendekati mereka merupakan Pinn Yang.
"Awalnya masa dia nak pinjam power bank saya tak cam sangat. Bila dengar suara, macam kenal. Kemudian bila dia kata ada kejutan, terus saya cakap dalam hati, betul la ni Pinn Yang.
"Saya dan tunang memang tak jangka langsung akan dapat kejutan sampai macam tu sekali. Terharu dan bersyukur sangat. Terkejut tak tahu nak cakap apa.
Kami berdua juga berharap Pinn Yang dapat hadir ke majlis pernikahan kami.
ANNISA
"Perasaan bercampur-baur. Rasa nak menangis, semua ada. Alhamdulillah, saya dan tunang pun bersyukur sangat dapat jumpa Pinn Yang dan dapat sponsor daripadanya," ujar Annisa.
Menurut gadis itu lagi, mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun depan dan berharap Pinn Yang dapat menghadiri majlis berkenaan apabila tiba masanya.
"Tahun depan (kahwin), mungkin dalam bulan Ogos dan September. Tarikh belum tetapkan lagi buat masa sekarang, tapi kami dah merancang. Setakat ini persiapan baru 50 peratus.
"Kami akan jemput Pinn Yang datang majlis perkahwinan belah pihak lelaki dan perempuan. Kami berdua juga berharap Pinn Yang dapat hadir ke majlis pernikahan kami," ujarnya.
Bercerita tentang detik perkenalan mereka, Annisa dan tunangnya mula berkawan pada tahun lalu ketika mereka sama-sama bekerja di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.
"Kami kenal pada tahun 2022. Masa tu saya dan tunang kerja di Lotus. Saya kerja di kedai jam, tunang kerja di kedai roti. Kedai kami berhadapan.
Tangkap layar video yang tular di TikTok.
"Pada mulanya saya segan nak berkawan. Sampai la satu hari saya beranikan diri untuk bercakap dan minta nombor. Sejak itu hubungan kami bermula," ceritanya lagi.
Dalam pada itu, video tentang pasangan itu yang dikongsi oleh Pinn Yang menerusi aplikasi TikTok meraih lebih 6 juta tontonan.
Netizen turut memuji sikap sopan pasangan itu khususnya tunang Annisa yang dilihat terus bersalaman dan memeluk Pinn Yang selepas mereka menerima kejutan wang tunai RM1,000.
Pasangan ini rancang nikah tahun depan.
Dalam video itu, Annisa turut memaklumkan kepada Pinn Yang bahawa dia dan tunangnya menyimpan wang kira-kira RM2,000 sebulan sebagai persiapan perkahwinan mereka.
"Dia salam dan tunduk. Lelaki ini sangat merendah diri. Bagus ajaran ibu bapanya.
"Bakal suami kau baik sis. Salam orang cium tangan. Moga dipermudahkan urusan kahwin.
"Kedua-dua mereka bertuah jadi pasangan masing-masing. Dua-dua beradab tinggi," ujar netizen.
Untuk rekod, Pinn Yang sememangnya terkenal di TiKTok kerana sering mengadiahkan pelbagai barangan serta wang tunai kepada orang awam.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube