Isu poligami sehingga kini masih hangat menjadi bualan, namun lain pula menerusi perkongsian seorang wanita mengenai pengalamannya mencari isteri kedua untuk suami. tersayang setelah sepuluh tahun mendirikan rumah tangga tanpa zuriat.
Dah lakukan pelbagai cara dapatkan zuriat, cari isteri kedua buat suami
Memetik laporan mStar, wanita yang mahu dikenali sebagai Sasha, 37, berkata, keputusan untuk hidup bermadu dengan mencari isteri baharu buat suami tersayang.
Sasha berkata, mereka berdua telah melakukan pelbagai cara seperti kaedah IVF dan perubatan Islam sebaik sahaja selesai menjalani pembedahan membuang cyst dan tiub fallopian yang menyukarkan dirinya hamil.
“Setelah 10 tahun berkahwin, kami berdua masih belum dikurniakan zuriat. Sudah bermacam cara kami usahakan untuk mendapatkan anak termasuklah rawatan Islam moden.
“Selepas bermacam usaha dibuat, Allah gerakkan hati untuk perkara lain pula iaitu bermadu. Saya tak cari tapi jodoh datang tanpa dirancang. Saya dan madu pada ketika itu berjiran dan sudah menganggap dia sebagai adik sendiri.
“Saya berseloroh dengan dia nak jadikan madu. Tak sangka jadi nyata. Selepas kami bersetuju barulah saya pergi merisik. Saya pergi cari cincin sendiri untuk meminang dia untuk suami,” ujarnya.
Dah risik baru bagitahu suami..
Mengulas lanjut, Sasha memberitahu suaminya hanya tahu mengenai perkara tersebut selepas selesainya majlis merisik yang dilakukan tanpa pengetahuan.
Jelas Sasha, suaminya akhirnya bersetuju untuk berkenalan dengan bakal calon isteri kedua selepas berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah S.W.T.
“Selepas selesai merisik, barulah saya bagitahu suami. Dia terkejut dan suruh saya dan bakal isteri isterinya fikir masak-masak. Tapi dia terima jika itu dah ketentuan sebab nak galas amanah tu bukan hal kecil,” katanya.
Sasha berkata, selepas itu mereka berdua membuat persiapan dan melakukan proses untuk berpoligami bersama-sama serta memutuskan untuk memilih tarikh 28 Jun 2023 sebagai tarikh perkahwinan, sama dengan ‘anniversary’ ke-10 dan ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-39.
Yakin dengan takdir Allah, rancang jalani IVF lagi sekali
Sementara itu, Sasha memaklumkan dia dan suami mempunyai perancangan untuk menjalani rawatan IVF sekali lagi pada tahun hadapan dan sedang bertungkus lumus mengumpul perbelanjaan bernilai RM30,000.
Dalam pada itu, Sasha memuji suaminya seorang lelaki yang baik dan memahami dirinya sepanjang mereka berkahwin selain berlapang dada dengan segala ketentuan yang telah ditetapan oleh-Nya.
“Dialah satu-satunya lelaki yang boleh terima segala kekurangan dan faham saya selama ini. Saya lalui saja semua ini sebab yakin dengan takdir Allah. Saya berlapang dada tanpa persoalkan kenapa dan mengapa ini terjadi,” ujar Sasha.